SHAH ALAM – Sebanyak 530 kilogram (kg) pepejal dan 2,929 liter cecair ketum bernilai kira-kira RM110,000 dilupuskan pada Selasa lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pelupusan melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor itu melibatkan 278 kertas siasatan yang telah selesai melalui proses siasatan dan pendakwaan di mahkamah.
Katanya, ia melibatkan lima daerah, iaitu Shah Alam, Serdang, Sepang, Gombak dan Hulu Selangor.
“Proses pelupusan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat melalui kaedah penanaman (burial).
“Pelupusan ini dilakukan dengan kerjasama strategik Jabatan Kebersihan Awam dan Kelestarian Sisa, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), serta Worldwide Holdings di tapak pelupusan sanitari Jeram, Kuala Selangor,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, Polis Selangor mengalu-alukan kerjasama orang awam untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah.
Tambahnya, sokongan masyarakat amat penting dalam membantu JSJN melaksanakan misi membanteras dadah secara menyeluruh selaras dengan slogan ‘Perangi Dadah, Lindungi Generasi’.

