JOHOR BAHRU – Tiga individu termasuk Ratu Nur Puteri Ratu Balqis akan disambung reman bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan berhubung kenyataan menghina agama Islam, institusi diraja serta kepimpinan negara.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, reman ke atas Ratu Nur Puteri, anaknya yang berusia 17 tahun dan abangnya akan tamat Jumaat dan polis akan memohon sambungan reman.
"Permohonan ini bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, serta Seksyen 298 dan 500 Kanun Keseksaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada Khamis.
Menurut Ab Rahaman, siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek adalah ahli keluarga yang tidak bekerja dan remaja berusia 17 tahun terbabit tidak bersekolah.
"Mereka tidak bekerja, dan remaja terbabit tidak bersekolah. Setakat ini, polis akan mohon reman dalam tiga atau empat hari lagi namun bergantung kepada pihak mahkamah.
"Berhubung dengan kesihatan mental individu berkenaan, saya tidak dapat mengesahkan statusnya tetapi selesai siasatan kita jalankan bergantung kepada arahan pihak mahkamah samada mereka perlu dirujuk kepada jabatan psikiatrik hospital atau tidak," katanya.
Ab Rahaman berkata, setakat ini polis mengesahkan tiada pengikut kepada ajaran individu terbabit.
Sebelum itu, dua wanita dan seorang lelaki tempatan ditahan polis pada Selasa selepas disyaki memuat naik kandungan berunsur hasutan, fitnah serta menghina agama Islam dan institusi negara menerusi aplikasi TikTok.
Menerusi rakaman video, individu yang menggelarkan dirinya Ratu Nur Putri Ratu Balqis mendakwa dia sebagai ‘Ruhul Qudus, Ruhul Amin, Raja Muhammad atau alam nyata aku dahulu Muhammad Putra Aminah’ selain mengakui dirinya dahulu Nabi Muhammad SAW.
Individu tersebut turut mengeluarkan kenyataan mempersendakan kemuliaan Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu.

