PEKAN – Polis menafikan penglibatan dalam kerja-kerja perobohan rumah kebun dan kemusnahan pokok buah-buahan di Kampung Sijar, Mukim Penyor, di sini sebaliknya kehadiran anggota hanya sebagai pemantau keselamatan.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, penjelasan itu dibuat susulan penularan video di aplikasi TikTok oleh seorang pengguna yang disertakan naratif mengambarkan polis turut terlibat dalam kejadian perobohan tersebut.
Menurutnya, hantaran tersebut pada jam 10 pagi Selasa yang memaparkan kemusnahan struktur dan tanaman di kawasan ladang sawit terbabit.
"Pihak pemaju telah menghantar surat makluman kepada IPD Pekan, Pejabat Daerah dan Tanah Pekan serta Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang berhubung pelaksanaan kerja pemutihan di lokasi tersebut pada tarikh dan masa yang telah ditetapkan.
"Jadi, satu pasukan daripada IPD Pekan hadir ke kawasan tersebut sebagai pemantau bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.
"Kehadiran pihak polis bukannya dipengaruhi oleh mana-mana pihak dan ia bertujuan untuk memastikan keadaan terkawal dan tenteram," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mengulas lanjut, Mohd Zaidi memaklumkan kerja-kerja merobohkan beberapa buah rumah kebun dan pokok buah-buahan disekitarnya telah dilakukan oleh beberapa orang pekerja Syarikat SRS Makmur Sdn Bhd dengan menggunakan jentera berat milik pemaju.
Jelasnya, operasi tersebut dijalankan pada Isnin bermula jam 10 pagi dan selesai kira-kira jam 1.30 petang.
"Perobohan dilakukan kerana pihak pemaju mendakwa beberapa Orang Asli telah membina rumah kebun dan menanam pokok buah-buahan secara haram di sekitarnya.
"Tanah seluas 550 ekar milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang tersebut telah diberi kelulusan ke atas syarikat tersebut untuk tanaman sawit semenjak tahun 2017," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berdasarkan video tular tanpa pengesahan pihak berkuasa.
“Orang awam dinasihatkan merujuk kepada pihak berkuasa terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan bagi mengelakkan kekeliruan,” katanya.


