Polis P.Pinang tubuh pasukan khas banteras pecah rumah

15 Jan 2024 • 4:17 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

NIBONG TEBAL: Polis Pulau Pinang menubuhkan pasukan petugas khas bagi membanteras kegiatan pecah rumah di negeri itu, kata Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin (gambar).

Beliau berkata berdasarkan statistik terdapat peningkatan kes pecah rumah di daerah Timur Laut, Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Selatan(SPS) pada tahun lepas.

“Kontijen Polis Pulau Pinang menunjukkan peningkatan kes pecah rumah membabitkan tiga daerah itu namun kes-kes lain di negeri ini seperti seperti kekerasan jenayah, samun berkawan, mencederakan dan curi kenderaan menurun pada tahun lepas.

“Kita buat beberapa perancangan bagi mengurangkan kes pecah rumah antaranya menubuhkan “task force” dengan fokus kepada modus operandi dan masa berlaku jenayah itu serta kawasan hotspot pecah rumah bagi menurunkan kadar jenayah,“ katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya keseluruhan sebanyak 3,606 kes jenayah dilaporkan pada tahun lepas dan 2,372 kes atau 65.8 peratus telah berjaya diselesaikan.

Khaw terdahulu menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah SPS antara Supt Ng Ah Thiam kepada Timbalannya DSP Mohd Norazmi Abd Ghapar yang akan memangku tugas, di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah SPS, di sini.

Ng yang berkhidmat dengan Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 35 tahun akan bersara wajib bermula esok.

Sementara itu, Khaw menasihatkan orang ramai terutama ketika musim perayaan agar memaklumkan kepada pihak polis jika mereka meninggalkan rumah untuk pulang ke kampung halaman bagi mengelak kejadian pecah rumah.

Katanya sekiranya mereka memaklumkan kepada pihak polis, Unit Kereta Peronda (MPV) polis dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) akan menjalankan rondaan di kawasan rumah mereka.

“Tak lama lagi Tahun Baharu Cina dan saya nak nasihatkan kepada orang ramai agar mereka maklumkan kepada balai polis berdekatan jika pulang ke rumah supaya kita boleh buat rondaan.

“Saya minta jiran-jiran yang nampak sesuatu yang mencurigakan di kawasan perumahan mereka agar terus menghubungi pihak polis supaya tindakan segera dapat diambil bagi membanteras pecah rumah,“ katanya. -Bernama