Polis Pahang tumpas sindiket aplikasi penipuan tukaran mata wang asing

LocalPolitics
16 Dec 2025 • 3:11 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

Lima individu ditahan cipta aplikasi untuk scammer, tipu mangsa di China melalui penipuan tukaran mata wang asing tidak wujud.

KUANTAN: Polis Pahang menumpaskan sebuah sindiket yang mencipta aplikasi khusus untuk tujuan penipuan.

Serbuan di sebuah rumah di Puncak Lestari, Mentakab, Temerloh itu membawa kepada penahanan lima suspek.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata mereka terdiri daripada lelaki dan wanita tempatan, dua lelaki warganegara China dan seorang wanita warganegara Indonesia.

Mereka ditahan pada kira-kira 6.50 petang 2 Disember lepas.

“Suspek yang berusia antara 29 hingga 39 tahun itu dipercayai telah menjalankan kegiatan mencipta aplikasi bagi kegunaan scammer untuk memerangkap mangsa di China,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu turut bergiat dalam penipuan penukaran mata wang asing tidak wujud yang turut menyasarkan mangsa di China.

Kesemua suspek dipercayai telah tinggal di premis berkenaan sejak Julai lepas.

Mereka bertindak sebagai pegawai khidmat pelanggan dengan bayaran gaji antara RM2,500 hingga RM4,000 sebulan.

Polis merampas 11 telefon bimbit, tujuh komputer riba, dua monitor, satu papan kekunci dan dua modem.

Anggaran nilai keseluruhan rampasan itu ialah RM30,000.

Serbuan ini merupakan tangkapan ketiga membabitkan pusat scammer di Pahang tahun ini.

Dua tangkapan sebelum ini dilakukan di Genting Highlands pada awal tahun dan di Bera pada 27 November.

Yahaya turut memaklumkan statistik kes penipuan dari Januari hingga November tahun ini.

Jumlah kerugian yang direkodkan ialah RM90.3 juta berbanding lebih RM80 juta dalam tempoh sama tahun lepas. – Bernama