KUALA LUMPUR – Polis mengenal pasti sebanyak 36 stesen minyak sebagai ‘hotspot’ dan 56 lagi lokasi berisiko susulan peningkatan aktiviti ketirisan bahan api yang dipercayai dipengaruhi faktor semasa termasuk krisis tenaga global.
Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Fisol Salleh berkata, pihaknya telah menggerakkan elemen Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama kontinjen ke stesen-stesen minyak terbabit, khususnya di kawasan berhampiran sempadan negara.
"Penugasan berkenaan bermula jam 6 pagi hari ini melibatkan enam negeri sempadan iaitu Perlis, Kedah, Kelantan, Perak, Sabah dan Sarawak.
“Pelaksanaan dibuat secara syif dengan kehadiran pegawai dan anggota PGA serta elemen pengoperasian kontinjen bagi memastikan kawalan berterusan berkesan di lokasi terlibat,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, tumpuan penugasan diberikan kepada stesen minyak yang beroperasi antara jam 6.30 pagi hingga 11.30 malam, iaitu waktu puncak urus niaga yang dikenal pasti berisiko tinggi berlakunya aktiviti penyelewengan.
“Bagi stesen yang beroperasi 24 jam, pemantauan dan penugasan dilaksanakan secara berterusan,” ujarnya.
Tambahnya, langkah itu merupakan sebahagian usaha bersepadu polis dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam memperkukuh kawalan serta penguatkuasaan di kawasan sempadan.
“Usaha ini bagi memastikan penyaluran bahan api bersubsidi kepada golongan yang layak serta mengelakkan ketirisan yang boleh menjejaskan kepentingan negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, polis akan terus mempertingkat keberkesanan operasi melalui pemantauan berterusan, pengukuhan risikan serta kerjasama strategik bersama agensi berkaitan bagi membanteras sebarang bentuk penyelewengan dan penyeludupan bahan api bersubsidi.
“Orang ramai turut diseru menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha penguatkuasaan ini,” katanya.


