
IPOH: Polis merampas sebanyak 72 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM2.5 juta susulan penahanan dua lelaki di Klebang Tropika, di sini Khamis lalu sekali gus menumpaskan sindiket pengedaran dadah didalangi warga tempatan.
Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri (gambar) berkata dalam operasi 5 petang yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri itu, polis turut menahan dua lelaki tempatan berusia antara 25 hingga 36 tahun.
Beliau berkata hasil pemeriksaan menemukan 72 bungkusan plastik lut sinar mengandungi serbuk dan ketulan dadah jenis syabu dengan anggaran berat 72.494kg yang disimpan di dalam kereta.
“Susulan penahanan itu, polis melakukan serbuan kedua di Kampung Rapat yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah dan menahan dua lagi individu berusia 30 hingga 40 tahun,“ katanya pada sidang media di sini hari ini.
Menurutnya dua kenderaan, sebuah motosikal, seutas rantai, gelang tangan serta wang turut disita dengan jumlah keseluruhan rampasan dadah dan sitaan bernilai RM2.6 juta.
Mohd Yusri berkata hasil risikan mendapati sindiket terbabit bergiat aktif sejak awal Mei lalu dengan tumpuan kepada pasaran tempatan dan dianggarkan dadah yang dirampas mampu menampung bekalan kepada kira-kira 145,000 penagih.
“Ujian saringan air kencing kesemua suspek mendapati seorang daripada mereka positif dadah jenis syabu dan semakan turut mendapati kesemua suspek memiliki rekod membabitkan pelbagai kesalahan dadah dan jenayah,“ katanya.
Beliau berkata kesemua suspek direman tujuh hari bermula Jumaat lalu hingga 3 Ogos ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Jika sabit kesalahan, Mohd Yusri berkata tertuduh boleh dijatuhi hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur umur dan tidak kurang daripada 15 sebatan. -Bernama

