
IPOH - Tindakan akan diambil terhadap enam anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh yang ditahan di sebuah pusat hiburan di sini pada Sabtu lalu setelah siasatan selesai dijalankan.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menyerahkan kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Bukit Aman dan JIPS IPK Perak untuk menjalankan siasatan ketika ini.
Menurutnya, sebarang tindakan lanjut terhadap anggota terbabit akan dilaksanakan sejurus mendapat arahan pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota yang terlibat dengan penyalahgunaan kuasa integriti dan sebagainya serta menyerahkan kepada pihak JIPS Bukit Aman dan JIPS Perak untuk menjalankan siasatan ke atas mereka.
"Perkara ini masih dalam siasatan dan kita juga akan mengambil tindakan segera selepas siasatan dibuat," katanya kepada pemberita selepas hadir ke Program Derma Darah PDRM Perak Sempena Hari Polis ke-216 Tahun 2023 di ruang legar sebuah pusat membeli belah di sini pada Rabu.
Pada Selasa, media melaporkan enam anggota polis ditahan ketika berhibur bersama seorang wanita warga Indonesia di sebuah pusat hiburan di Bercham di sini, Sabtu lalu.
Kesemua anggota berpangkat koperal dan lans koperal itu ditahan dalam serbuan oleh JIPS Bukit Aman bersama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).
Difahamkan, salah seorang seorang anggota terbabit didapati mengambil minuman keras dan seorang lagi positif dadah jenis ganja menerusi ujian saringan air kencing.
Pemeriksaan sekitar jam 11.30 malam itu turut menemukan sepeket serbuk putih disyaki dadah di dalam tandas bilik karaoke berkenaan.
Sementara itu, Mohd Yusri merakam penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan program derma darah tersebut sempena Sambutan Hari Polis ke-216 peringkat IPK Perak.
Katanya, selain pegawai dan anggota polis yang hadir, terdapat juga ketua-ketua jabatan kerajaan lain termasuk pihak Kementerian Kesihatan.
Menurutnya, selain derma darah, turut dibuka reruai PDRM untuk orang ramai menyemak saman trafik selain memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai modus operandi kegiatan penipuan.
