KUALA LUMPUR – Polis memperkemaskan prosedur operasi standard (SOP) penugasan bagi mengelak tragedi kemalangan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak pada 13 Mei tahun lalu berulang.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, penambahbaikan itu terutama membabitkan penugasan konvoi selain memastikan setiap anggota mematuhi SOP yang telah ditetapkan.
“Kita telah membuat banyak penambahbaikan dan memperkemaskan SOP dalam melaksanakan penugasan terutama yang melibatkan konvoi besar.
“Saya percaya dengan peningkatan SOP dan peraturan yang ditetapkan, kita dapat mengurangkan kemalangan bukan sahaja ketika bertugas tetapi juga semasa berada di jalan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis penutup PDRM Special Dialogue V 2026 (PSD V 2026) di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Mohd Khalid berkata, pihaknya juga sentiasa meningkatkan aspek logistik dan peralatan pasukan tersebut.
“Perkara itu memang kita tingkatkan dari semasa ke semasa dan pada masa sama kita menerima peruntukan daripada kerajaan untuk mempertingkatkan peralatan serta logistik termasuk kenderaan baharu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kebajikan keluarga mangsa yang terlibat turut diberi perhatian termasuk bantuan keperluan serta perlindungan insurans.
“Setakat ini, alhamdulillah, segala bantuan keperluan dan insurans telah dilaksanakan dengan baik dan sempurna.
“Jika ada kekurangan, keluarga boleh berhubung dengan ketua polis negeri masing-masing,” katanya.
Tragedi kemalangan itu mengorbankan sembilan anggota FRU.
Dalam kejadian sekitar jam 8.50 pagi itu, trak membawa 18 anggota FRU Unit 5 Kem Sungai Senam, Ipoh dirempuh sebuah lori bermuatan batu kerikil yang memasuki laluan trak FRU yang sedang mengikuti konvoi dalam perjalanan pulang dari Teluk Intan ke Ipoh.
