Polis Pulau Pinang tahan 12 lelaki, rampas hampir RM9,000 dalam Op Soga XI

LocalFootball
23 Jun 2026 • 1:20 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Polis Pulau Pinang tahan 12 lelaki, rampas hampir RM9,000 dalam Op Soga XI
Dennis Lim (tengah) menunjukkan wang tunai yang dirampas dalam 12 tangkapan menerusi Op Soga XI.

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang menahan 12 lelaki serta merampas wang tunai berjumlah RM8,692 dalam operasi khas membanteras kegiatan perjudian dalam talian dan pertaruhan bola sepak sempena Piala Dunia FIFA 2026.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, tangkapan itu dibuat menerusi Op Soga XI, operasi bersepadu di seluruh negara yang menyasarkan aktiviti pertaruhan sukan tanpa lesen dan perjudian dalam talian.

Menurutnya, operasi oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibupejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang dengan kerjasama Polis Bukit Aman serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu dijalankan daripada 11 Jun hingga 19 Julai depan.

“Di Pulau Pinang, sebanyak 12 serbuan telah dijalankan setakat ini dan berjaya menahan 12 lelaki berusia antara 27 hingga 64 tahun kerana disyaki terlibat dalam kegiatan perjudian dalam talian serta pertaruhan bola sepak haram.

“Kesemua suspek ditahan dalam operasi berasingan di beberapa lokasi di seluruh negeri,” katanya pada sidang media di Pusat Media Ibupejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini pada Selasa.

Beliau berkata, siasatan mendapati kebanyakan suspek membuat atau menguruskan pertaruhan menerusi platform dalam talian dan aplikasi mudah alih.

“Kita telah mengenal pasti aplikasi dan laman sesawang yang digunakan bagi menjalankan aktiviti berkenaan.

"Telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk urusan perjudian turut dirampas dalam operasi tersebut,” katanya.

Dennis Lim menambah, polis turut mengenal pasti 12 laman sesawang, platform, aplikasi mudah alih dan akaun media sosial yang digunakan untuk memudahkan aktiviti pertaruhan bola sepak serta mempromosikan perjudian dalam talian sepanjang berlangsungnya Piala Dunia.

“Dengan bantuan MCMC, tindakan akan diambil untuk menyekat laman sesawang berkenaan dan menurunkan kandungan dalam talian yang terlibat.

"Semua suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu siasatan lanjut diselesaikan," ujarnya lagi.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) dan Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 serta Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Polis turut menyiasat kemungkinan wujud kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

"Polis akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan sepanjang tempoh Piala Dunia berlangsung dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk kegiatan perjudian haram," katanya.

Tambahnya, perjudian dalam talian terus menjadi tarikan kepada sindiket yang mahu mengaut keuntungan daripada acara sukan besar.

"Justeru, tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat.

"Saya menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti perjudian kepada polis bagi membolehkan tindakan segera diambil," katanya.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved