
Kota Kinabalu: Polis telah merakam keterangan kira-kira 60 individu, termasuk pelajar, ibu bapa dan pihak pentadbiran sekolah, berhubung kematian pelajar sekolah agama, Zara Qairina, 13, di Papar pada 17 Julai lalu.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, polis turut dibantu pakar kaunseling bagi membantu pelajar yang trauma untuk memberikan keterangan yang jelas mengenai insiden berkenaan.
“Kita telah bawa siasatan ini ke Bukit Aman untuk penelitian akhir sebelum dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});“Kita serahkan kepada Bukit Aman sebagai pihak atasan untuk memberikan pandangan lanjut berkaitan kes ini.
“Kita tidak menolak kemungkinan dakwaan (bahawa Zara menjadi mangsa) buli, namun siasatan masih dijalankan,” katanya selepas menghadiri sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Sabah 2025 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, Jumaat.
Majlis itu disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor turut hadir.
Jauteh berkata, siasatan polis ketika ini menumpukan kepada dua elemen utama, iaitu punca kematian dan persekitaran mangsa.
Menurutnya, orang awam mahukan siasatan yang telus dan menyeluruh terhadap kes ini, justeru pihak polis mengambil masa bagi melengkapkan siasatan secara teratur dan profesional.
Pada 18 Julai, katanya, satu pasukan khas polis Sabah telah dihantar untuk menjalankan siasatan di sekolah berkenaan.
“Sebahagian saksi juga merupakan pelajar sekolah tersebut. Jika siasatan dijalankan secara tidak profesional atau tergesa-gesa, ia boleh menambah trauma yang mereka alami,” katanya.

