Polis rampas rokok seludup bernilai RM1.48 juta di Jertih

11 Nov 2022 • 3:32 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

JERTIH: Polis menggagalkan cubaan menyeludup masuk 9,900 karton rokok bernilai RM1.48 juta dalam serbuan di kawasan berbatu di Teluk Air Tawar di sini, Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Abdul Rozak Mohamad berkata serbuan pada 11.30 malam itu dilakukan anggota Unit Risikan Marin, Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga yang meninjau kawasan itu selepas bertindak hasil maklumat orang awam.

“Ketika serbuan, terdapat beberapa lelaki sedang memunggah rokok dari bot ke sebuah lori namun mereka kemudian berjaya melarikan diri ke dalam semak berhampiran dan gagal dikesan,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut di sini hari ini.

Beliau berkata hasil pemeriksaan di dalam lori menemukan 198 kotak rokok yang dipercayai diseludup dari negara jiran melalui laut untuk diedar kepada pelanggan di luar Besut.

Menurut Abdul Rozak polis merampas lori berkenaan yang dianggarkan bernilai RM200,000 dan menjalankan siasatan lanjut untuk mengesan suspek yang terlibat melalui alamat pemilik lori yang beralamat di Sepang, Selangor.

“Ini merupakan rampasan rokok seludup yang terbesar di daerah Besut pada tahun ini dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya. - Bernama