
Kota Kinabalu: Polis merampas 39.5kg syabu yang dianggarkan bernilai RM1.26 juta susulan serbuan ke atas sebuah rumah di Taman Donggongon, Penampang, pada Selasa malam.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata serbuan itu dijalankan pada jam 11.30 malam, 6 Januari lalu, selepas polis menerima maklumat orang awam mengenai barangan mencurigakan yang dipercayai berkaitan aktiviti dadah.
Beliau berkata dua lelaki berasal dari Semenanjung berusia 28 dan 29 tahun ditahan dan polis menemui 40 bungkusan berisi hampir 200 papan pemotong diubah suai yang mengandungi syabu.
“Dalam modus operandi yang pertama seumpamanya, dadah berkenaan disorokkan di dalam ‘sasaban’ atau papan pemotong yang telah diubah suai.
“Setiap sasaban ini boleh menyimpan sehingga 200 gram syabu dengan membuat ruang khas di dalamnya,” katanya pada sidang media, Khamis.
Siasatan mendapati kedua-dua suspek bertindak sebagai penghantar sebelum mengedarkan dadah terbabit kepada pihak lain.
Beliau berkata kedua-dua suspek yang dipercayai menetap di Kuala Lumpur didapati positif dadah manakala salah seorang daripada mereka mempunyai rekod sabitan lampau membabitkan beberapa kes jenayah.
“Siasatan awal turut mendapati sindiket berkenaan menggunakan perkhidmatan kurier untuk menghantar dadah yang disorokkan dalam sasaban dari Kuala Lumpur ke Sabah melalui laluan laut.
“Kami percaya dadah ini bertujuan untuk pasaran tempatan dan berpotensi membekalkan sehingga 160,000 penagih bagi sekali penggunaan,” katanya.
Kedua-dua suspek direman sehingga 14 Januari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Jauteh berkata polis akan mempertingkatkan kerjasama dengan agensi berkaitan termasuk Bukit Aman bagi membanteras taktik penyeludupan seumpama itu khususnya melalui pintu masuk kargo.
Beliau tidak menolak kemungkinan tangkapan lanjut akan dibuat ketika siasatan diteruskan.
“Sekiranya kita dilengkapi sebaiknya di pintu masuk, kita dapat mengesan dan menjejaki penyeludupan dadah melalui kargo dengan lebih berkesan. Kita akan mengadakan perbincangan dengan agensi berkaitan bagi memperkukuh langkah penguatkuasaan,” kata Jauteh.



