Polis rujuk kes bayi diserang monyet kepada Perhilitan

24 Nov 2026 • 2:07 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Polis rujuk kes bayi diserang monyet kepada Perhilitan

SUNGAI BULOH: Polis mengesahkan kes serangan monyet liar terhadap seorang bayi lelaki, Ahmad Ayyash Adyan berusia lima bulan di Kampung Paya Jaras Tengah di sini, dirujuk kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, laporan berhubung kejadian itu diterima pada pukul 11.44 malam Ahad lalu.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 8.18 malam ketika ibu mangsa berada di dapur manakala bayi terlibat sedang tidur dalam buaian di ruang tamu.

“Ibu mangsa terdengar jeritan sebelum mendapati seekor monyet berada berhampiran mangsa.

“Monyet tersebut dipercayai memasuki rumah melalui tingkap yang terbuka sebelum melarikan diri melalui tingkap sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Hafiz berkata, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian muka dan dibawa ke Hospital Sungai Buloh bagi mendapatkan rawatan.
Difahamkan, mangsa merupakan anak kedua pasangan suami isteri masing-masing berusia 21 dan 18 tahun.

Bapa mangsa bekerja sebagai jurujual di kedai serbaneka manakala ibunya merupakan jurujual di sebuah kedai roti.

Mohd. Hafiz berkata, laporan polis berhubung kejadian diklasifikasikan sebagai Rujuk Lain Agensi (ROA) iaitu kepada Perhilitan.

“Polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan mengutamakan keselamatan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini.

“Selain itu, penyebaran maklumat tidak sahih berkaitan kejadian ini hendaklah dielakkan bagi mengelakkan kekeliruan,” jelasnya.

The post Polis rujuk kes bayi diserang monyet kepada Perhilitan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved