
Ipoh – Wanita tempatan yang cuba menghampiri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di pentas utama ketika sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri pada 31 Ogos lalu, dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK), Tanjung Rambutan, untuk pemantauan lanjut.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, wanita berusia 41 tahun itu dihantar ke hospital berkenaan mengikut peruntukan Akta Kesihatan Mental 2001 (Akta 615) selepas tempoh remannya tamat hari ini.
“Siasatan kes ini telah selesai dan kertas siasatan sudah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri Perak. Ia juga akan dimajukan ke Pejabat Peguam Negara di Putrajaya pada 4 September untuk arahan serta keputusan lanjut.
“Sebarang perkembangan berhubung kes ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan dan menggugat ketenteraman awam.
Pada insiden 31 Ogos lalu, wanita terbabit yang mempunyai rekod rawatan psikiatri serta rekod lampau berkaitan dadah, ditahan ketika cuba menghampiri Sultan Nazrin sewaktu lagu kebesaran negeri Perak dimainkan di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh.
