SHAH ALAM, 16 Sept (Bernama) -- Mayat lelaki yang ditemukan terapung di perairan Hutan Melintang, Perak pagi tadi disahkan sebagai seorang daripada tiga pemancing yang hilang Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP Ramsay Embol berkata identiti lelaki berkenaan dikenal pasti sebagai Mohd Sharil Abd Rahman, 43, selepas pengecaman dilakukan oleh waris.
“Pasukan penyelamat menerima maklumat daripada nelayan berhubung penemuan mayat itu kira-kira 8.30 pagi sebelum dibawa oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ke Jeti Hutan Melintang untuk tindakan lanjut.
“Mayat seterusnya akan dibawa ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua lagi mangsa yang masih hilang diteruskan secara bersepadu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), APMM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta agensi berkaitan.
Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Klang Utara Supt Mohd Rahimi Zainol dilaporkan berkata satu mayat ditemukan di perairan Bagan Sungai Belukang, Perak, dalam keadaan terikat pada tong serta memakai jaket keselamatan pagi tadi.
Pada Isnin, APMM Selangor melancarkan SAR selepas menerima laporan rasmi berhubung kehilangan tujuh pemancing di One Fathom Bank di perairan Selat Melaka pada 3.35 pagi.
Bagaimanapun, empat daripadanya ditemukan selamat di perairan Sekinchan pada hari kedua operasi SAR, sebelum dihantar mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan Hospital Banting.
Baca juga:
Empat Pemancing Ditemui Selamat, Tiga Lagi Masih Dicari
Mayat Ditemukan Di Perairan Perak Dipercayai Pemancing Hilang
Sementara itu, operasi SAR yang memasuki hari ketiga hari ini memberikan tumpuan penuh terhadap peluasan zon pencarian susulan penemuan satu mayat di perairan Perak.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata tindakan dilakukan selepas mengambil kira faktor pergerakan arus semasa yang dikhuatiri telah menghanyutkan baki mangsa ke kawasan perairan negeri berhampiran.
“Sektor pencarian laut kini merangkumi kawasan seluas 203.85 batu nautika persegi di sempadan perairan Selangor dan Perak manakala udara meliputi 408 batu nautika persegi di sekitar One Fathom Bank.
"Kapal APMM, KM NUSA turut digerakkan bagi memperluas kawasan pencarian ke perairan Perak," katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau meminta orang ramai menyalurkan sebarang maklumat menerusi talian 013-660 6652 bagi membantu melancarkan operasi SAR.



