Polis Sahkan Pemandu SUV Langgar Penunggang Motosikal Hingga Maut Adalah Pegawai Kanan Di Bukit Aman

LocalPolitics
3 Jan 2025 • 4:46 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Pada 1 Disember lalu, tular di media sosial rakaman video papan pemuka (dashcam) kemalangan ngeri melibatkan seorang penunggang motosikal dan sebuah kereta jenis Perodua Ativa di Kilometer 32 Jalan Klang – Teluk Intan.

Dalam kejadian yang berlaku pada 31 Disember itu kira-kira jam 6.17 petang, penunggang motosikal yang merupakan kakitangan Klinik Kesihatan Kapar meninggal dunia di tempat kejadian selepas melambung ke dalam parit kecil akibat perlanggaran tersebut.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin, siasatan awal mendapati mangsa yang berusia 57 tahun itu menunggang motosikal jenis Honda Wave dalam perjalanan menuju ke rumahnya dari tempat kerja.

Pemandu Perodua Ativa Rupanya Pegawai Kanan Polis Di Bukit Aman

Terbaharu, polis mengesahkan pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Perodua Ativa yang terlibat dalam kemalangan tersebut adalah pegawai kanan polis yang bertugas di Bukit Aman.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, pegawai kanan berkenaan sedang dalam tempoh bercuti ketika kemalangan terbabit berlaku dan kini dia sedang mendapatkan rawatan di hospital kerana turut cedera dalam insiden terbabit.

Jelas Hussein, berdasarkan rakaman dashcam yang tular, berkemungkinan pegawai tersebut terlelap atau microsleep ketika memandu kenderaannya itu.

“Bagaimanapun, kita tunggu keputusan siasatan daripada pihak trafik.

“Kita akan melihat jika ada keperluan untuk membuat tangkapan ataupun tidak, tetapi kita buat ujian air kencing dan didapati negatif selain mengambil keterangannya,” katanya yang dipetik daripada Kosmo.

Beri Jaminan Siasatan Akan Dilakukan Secara Telus & Adil

Pada masa yang sama, Hussein turut memberi jaminan bahawa polis akan menjalankan siasatan secara telus dan adil.

“Sekiranya dia (pegawai polis) didapati bersalah di bawah Akta Pengangkutan Jalan, kita akan ambil tindakan yang wajar ke atasnya.

“Siasatan dimulakan bersabit dengan kesalahan di bawah seksyen kemalangan maut dan kita akan rujuk kepada pendakwa raya secepat mungkin untuk sebarang keputusan,” ujarnya.

Jelas Hussein, pihaknya yakin dapat melengkapkan siasatan dengan kadar segera sebelum dirujuk kepada pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya.

“Yang penting, kita lengkapkan siasatan daripada saksi-saksi yang ada di tempat kejadian.

“Selain itu, dibantu keterangan daripada rakaman kamera papan pemuka yang kita sudah perolehi dan juga rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dari sebuah rumah di kawasan tersebut,” jelasnya lagi.

Kakitangan klinik kesihatan Kapar meninggal dunia dirempuh Perodua Ativa

Posted by Kaki Bisnes Viral on Tuesday 31 December 2024

Source: