Polis sahkan pihak berkuasa Australia rampas 336kg heroin dari M’sia ke Brisbane

11 Apr 2023 • 7:27 AM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan Pihak Berkuasa Australia telah berjaya merampas 336 kilogram (kg) dadah jenis heroin yang dibawa masuk dalam sebuah kontena dari Malaysia ke Brisbane, Australia pada 13 Mac lepas.

Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata dadah berkenaan dianggarkan bernilai AUD268.8 juta (RM789.56 juta).

“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman sedang menjalankan siasatan dengan berpandukan maklumat yang diterima dari pihak Polis Persekutuan Australia (AFP) sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan semalam.

AFP dalam kenyataan minggu lepas memaklumkan Pasukan Sempadan Australia (ABF) berjaya mengesan dadah berkenaan disorok dalam dua blok konkrit simen yang masing-masing seberat 500kg.

Menurut kenyataan itu, semakan mendapati penghantaran berkenaan diisytiharkan sebagai aksesori panel solar dalam kontena yang tiba 13 Mac lepas di Pelabuhan Brisbane dari Malaysia.

Kenyataan itu memaklumkan pegawai ABF yang memeriksa kontena berjaya mengesan ratusan bungkusan tersembunyi di dalam blok konkrit simen berkenaan dan keputusan ujian ke atas bahan dalam bungkusan positif dadah jenis heroin. - Bernama