Polis Sahkan Terima Laporan Guru Didakwa Lakukan Pedofilia

1 Apr 2024 • 10:42 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Polis Sahkan Terima Laporan Guru Didakwa Lakukan Pedofilia

KOTA BHARU — Satu laporan berhubung seorang guru yang didakwa melakukan aktiviti pedofilia terhadap seorang pelajar lelaki telah diterima polis, lapor Sinar Harian.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun apabila mangsa membuat laporan tersebut.

Kata Muhammad Zaki, keterangan daripada saksi juga diambil namun maklumat identiti mengenai mangsa serta suspek tidak didedahkan buat masa ini.

“Keterangan daripada beberapa saksi juga akan diambil dan siasatan mengambil kira dalam semua aspek termasuk kandungan WhatsApp dan individu lain yang pernah mereka hubungi.

“Siasatan akan dilakukan secara terperinci dan jika perlu turut membabitkan Seksyen 233 Akta Multimedia dan Komunikasi serta Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah,” ujarnya.

Muhamad Zaki berkata demikian kepada pemberita sewaktu hadir dalam Majlis Iftar Ramadan Perdana Peringkat Kontinjen Kelantan Sempena Peringatan Hari Polis Ke-217 semalam.

Menurutnya, pihak polis melakukan siasatan secara telus dan tidak berpihak kepada mana-mana individu.

“Individu yang mempunyai maklumat juga boleh tampil memberi keterangan dan jika mahu hadir secara rahsia, mereka boleh terus menghubungi polis untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.

Walau bagaimanapun, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi kerana perkara itu masih dalam siasatan.

Terdahulu, satu pasukan dari ibu pejabat Majlis Amanah Rakyat (Mara) telah ditubuhkan bagi melaksanakan siasatan berhubung dakwaan seorang guru yang didakwa melakukan aktiviti pedofilia terhadap seorang pelajar lelaki.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu hantaran di platform X memaklumkan bahawa guru terbabit telah digantung tugas sehingga siasatan selesai.

Sumber: Sinar Harian