Polis Sahkan Tiga Lagi Sekolah Antarabangsa Terima Ancaman Bom

22 Nov 2023 • 3:18 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Polis Sahkan Tiga Lagi Sekolah Antarabangsa Terima Ancaman Bom

KUALA LUMPUR — Tiga lagi sekolah iaitu, dua di Kajang, Selangor dan satu di Batu Feringghi, Pulau Pinang dilaporkan menerima ancaman bom.

Memetik Astro Awani, perkara itu disahkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini.

Menurut Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, di Kajang, dua laporan ancaman bom diterima oleh pihaknya pada pagi tadi.

“Setelah security flushing atau tindakan pembersihan keselamatan dilakukan, kita dapati tiada sebarang bahan letupan atau bom di kawasan sekolah antarabangsa tersebut,” ujarnya dalam sidang akhbar hari ini.

Tambahnya, mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, semua tindakan yang diambil semasa pembersihan keselamatan telah dilakukan.

Sehubungan itu, arahan pengosongan bangunan dan pemindahan pelajar ke tempat yang selamat telah dikeluarkan oleh pihak sekolah.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelupusan barang kes dan lelongan kenderaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di Balai Polis Bandar Baru Bangi pada Rabu.

Walau bagaimanapun, pihak polis tidak menemukan bom, bahan letupan atau benda yang mencurigakan setelah pemeriksaan dijalankan.

Oleh itu, Mohd Zaid berkata sesi persekolahan boleh dijalankan seperti sedia kala oleh pihak sekolah.

Beralih ke Batu Feringghi, Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden V Saravanan berkata pada pukul 9.22 pagi tadi, pihaknya menerima laporan berhubung ancaman bom.

Katanya, seorang individu tidak dikenali telah menghantar e-mel bertajuk ‘bahan letupan telah ditanam di sekolah’ kepada pengurusan sekolah pada jam 9.42 pagi semalam.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, sebanyak 19 laporan palsu berkaitan ancaman bom telah diterima oleh PDRM di beberapa sekolah di seluruh negara.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husian.

Ancaman bom itu telah dihantar menerusi dua akaun e-mel tertera nama ‘taktstorer’ yang bermaksud ‘penganggu ketenteraman’ dalam bahasa Jerman daripada penyedia perkhidmatan e-mel Beeble.com.

“Kita menerima tujuh laporan di Selangor, Kuala Lumpur (lima), Johor (tiga), Pulau Pinang (dua) dan satu laporan di Perak serta Negeri Sembilan,” maklumnya pada Selasa.

Tambah Razarudin, PDRM dengan kerjasama sekolah yang terlibat telah segera mengambil tindakan bagi mengosongkan bangunan sebaik menerima laporan.

Sumber: Astro Awani