
Polis Sedang Kesan Dua Individu Pukul Anjing Terjatuh Dalam Longkang
BALIK PULAU — Pihak polis kini sedang mengesan dua individu yang dipercayai terlibat memukul seekor anjing yang terjatuh di dalam longkang pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Barat Daya Pulau Pinang, Superitenden Kamarul Rizal Jenal, berkata pihaknya telah terkesan satu artikel tular di media sosial berhubung penderaan terhadap haiwan itu sekitar jam 6 petang semalam.
Dua Individu Pukul Anjing
Tambahnya, dalam video berkenaan memaparkan adegan dua orang lelaki sedang menyerang sesuatu menggunakan kayu di kawasan semak.
Sewaktu kejadian, seorang saksi berada di lokasi kejadian sempat merekodkan video.
“Saksi yang menyedari insiden itu bertindak merakam perbuatan suspek menggunakan telefon bimbit miliknya dan menghantar kepada rakannya yang tinggal di Petaling Jaya, Selangor sebelum ditularkan melalui akuan Twitter.
“Siasatan awal mendapati, kejadian tersebut berlaku pada Sabtu (8 Julai 2023) jam 8.38 malam di Kampung Telok Tempoyak, Batu Maung, Pulau Pinang.
“Menurut saksi kejadian, dia telah melihat suspek iaitu dua lelaki tempatan yang tidak dikenali disyaki tinggal berdekatan tempat kejadian sedang menyerang seekor anjing yang terjatuh dalam longkang tepi jalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas Kamarul, usaha untuk menjejaki suspek yang terlibat sedang diteruskan. Pihak polis kini telah membuka kertas siasatan berhubung kejadian tersebut.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 29(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Jika sabit kesalahan serta disiasat juga di bawah seksyen 233 AKMM jika didapati bersalah boleh didenda RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali,” maklumnya lagi.
Sehubungan itu, pihak polis akan mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang mendera atau memukul binatang tanpa alasan yang munasabah.
Kata Kamarul lagi, pihak polis ingin mengingatkan kepada orang ramai supaya tidak menularkan video berkenaan.
Pukul, Bakar Anjing
Terdahulu, seorang lelaki telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen selepas disabitkan pertuduhan menyebabkan kesakitan tidak sepatutnya terhadap seekor anjing akhir Mac lepas, lapor Bernama.
Tertuduh, 19, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.
Difahamkan, menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang lelaki telah memukul dan membakar anjing berkenaan.
The post Polis Sedang Kesan Dua Individu Pukul Anjing Terjatuh Dalam Longkang appeared first on Siakap Keli.

