Polis sedang kesan pemandu Proton Wira langgar lari penyelia kilang

22 Jun 2023 • 6:13 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KOTA TINGGI: Polis sedang mengesan pemandu Proton Wira yang disyaki terlibat dalam kes langgar lari hingga menyebabkan seorang penyelia kilang maut di Kilometer 29 Jalan Lok Heng - Mawai di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora berkata pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan membabitkan kereta terbabit dengan motosikal jenis KTM Duke 200 yang ditunggang mangsa, Mohd Azizi Muhamed, 41, kira-kira 9.30 malam.

Beliau berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu lelaki berusia 25 tahun yang dalam perjalanan menghala ke Mawai itu gagal mengawal kenderaannya sebelum termasuk ke laluan bertentangan, lalu bertembung dengan motosikal mangsa.

“Akibat daripada pertembungan berkenaan, penunggang motosikal terbabit telah tercampak ke bahu jalan sebelah kiri laluan menghala ke Felda Waha.

Mangsa yang mengalami cedera parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Manakala, pemandu kereta terbabit didapati telah meninggalkan tempat kejadian, dan usaha mengesan sedang giat dijalankan,“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hussin berkata hasil semakan mendapati pemandu kereta terbabit mempunyai rekod pelbagai kesalahan jenayah lampau dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-Bernama