
Polis Sedang Kesan Sekumpulan Pengayuh Basikal Dipercayai Halang Laluan Bas
KUALA SELANGOR — Polis sedang mengesan sekumpulan pengayuh basikal yang dipercayai menghalang laluan sebuah bas di Kilometer 23 Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur menghala Sungai Buloh di sini, kelmarin
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, kejadian yang tular di media sosial itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 9.35 pagi pada Ahad.
“Pada Isnin, jam lebih kurang 5.00 petang, telah terkesan satu video tular di laman sosial Facebook mengenai satu kejadian antara seorang pemandu bas dan sekumpulan pengayuh basikal.
“Dalam video tersebut memaparkan kejadian berlaku di kawasan KM 23 Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur (arah ke Sungai Buloh) selepas lampu isyarat Batu Arang.
“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku pada Ahad jam lebih kurang 9.35 pagi ketika sekumpulan pengayuh basikal menghala ke arah Sungai Buloh dipercayai mengayuh dalam kelompok besar di sebelah kiri jalan dan dipercayai menghalang laluan berkenaan,” maklum kenyataan itu.
Tambah Azaharudin, polis meminta orang ramai yang melihat kejadian diminta untuk tampil bagi membantu siasatan atau boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau balai polis berdekatan
Kes disiasat mengikut Peraturan 42(3) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana menunggang basikal secara bersaing
“Polis menasihati kepada orang ramai agar mematuhi peraturan jalan raya yang telah ditetapkan dan menghormati keselesaan pengguna jalan raya yang lain,” maklum kenyataan itu.
Sumber: Polis Daerah Kuala Selangor
The post Polis Sedang Kesan Sekumpulan Pengayuh Basikal Dipercayai Halang Laluan Bas appeared first on Siakap Keli.




