Polis selamatkan tiga mangsa pemerdagangan orang, tahan 29 individu lain

LocalPolitics
24 Jan 2025 • 10:34 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Polis menahan 29 warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen dalam serbuan di sebuah kilang di Petaling Jaya petang Khamis. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Polis menyelamatkan tiga lelaki warga Bangladesh dipercayai mangsa pemerdagangan manusia dan menahan 29 warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen dalam serbuan di sebuah kilang di Petaling Jaya dekat sini petang Khamis.

Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, tiga lelaki yang diselamatkan itu berusia antara 28 hingga 35 tahun.

Beliau berkata, dalam serbuan berkenaan, pihaknya turut menahan seorang lelaki Bangladesh dan seorang lelaki warga India disyaki pemilik dan pengurus kilang.

"Kedua-dua mereka yang berumur 48 dan 40 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Seksyen 39(b) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 55B Akta Imigresen," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Soffian berkata, dalam serbuan itu, kesemua 27 warga asing yang ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen itu dikenal pasti berasal dari Bangladesh, India, Pakistan dan Myanmar, serta merupakan pekerja di kilang berkenaan.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan berumur antara 23 hingga 47 tahun dan mereka disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 39(b) Akta Imigresen 1959/63.

Serbuan berkenaan katanya, dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian D3 ATIPSOM Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman pada 2.30 petang dan turut dibantu oleh anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Selangor dan Jabatan Penguatkuasaan Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Soffian berkata, fokus operasi ialah pengenalpastian mangsa pemerdagangan orang dengan berpandukan pada National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0. - Bernama