
SEMPORNA: Polis percaya telah menyelesaikan sekurang-kurangnya lapan kes pecah masuk di sini susulan tangkapan seorang lelaki tempatan pada Rabu.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah dalam satu kenyataan berkata, pada 18 Julai lalu, pihaknya telah menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan bahawa rumahnya di Kampung Bubul telah dipecah masuk dan dia kehilangan telefon bimbit, cincin emas, dokumen serta wang tunai.
Beliau berkata berdasarkan maklumat, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Semporna menahan seorang lelaki berusia 30 tahun kira-kira jam 11 malam di Dataran Lepa pada 19 Julai lalu.
Mohd Farhan berkata, susulan penahanan suspek, polis merampas sebuah motosikal dengan plat pendaftaran palsu, parang, gunting, beg sandang, dua dompet, tiga telefon bimbit, dan jam tangan.
SPONSORED CONTENT A&W poised for rapid growth in Sabah Kota Kinabalu: A&W is geared to become the leading Quick Service Restaurant (QSR) chain in Sabah, with its strong re-entry into Sabah with the opening of the first outlet in Inanam in November 2022. Read more Polis turut merampas dua kad pengenalan dan lima kad bank milik orang lain. Turut dirampas lapan barang kemas dan resit pajak gadai telefon bimbit.
“Pemeriksaan lanjut ke atas rumah suspek di Kampung Bubul menemukan dua beg pinggang, dua tablet dan dua telefon bimbit.
“Pada 20 Julai lalu, di beberapa kedai pajak gadai mengikut maklumat suspek, polis merampas sebentuk cincin emas dan jam tangan dipercayai barangan curi,” katanya.
Mohd Farhan berkata, dengan penahanan suspek yang turut didapati positif penyalahgunaan dadah, Polis Semporna menyelesaikan sekurang-kurangnya lapan kes pecah masuk tahun ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, Peraturan 25(1)(o) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya.
Polis turut berterima kasih kepada orang ramai atas maklumat yang membawa kepada penahanan suspek, dan berharap orang ramai akan terus menyalurkan maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah dengan menghubungi talian 089-782020 atau balai polis berhampiran.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

