Polis Sepang tangkap tiga lelaki dikehendaki kes tipu, dadah

LocalPolitics
9 Jan 2025 • 5:40 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

SEPANG, 9 JAN: Polis berjaya menahan tiga lelaki warga tempatan yang dikehendaki di Melaka, Putrajaya dan Banting, Selangor menerusi operasi bersepadu yang dijalankan sejak Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Norhizam Bahaman berkata suspek berusia 25 hingga 54 tahun berkenaan dipercayai terlibat dalam kes penipuan dan penyalahgunaan dadah.

“Operasi yang akan berakhir pada 14 Jan ini bertujuan mengesan pelbagai kesalahan melibatkan kenderaan perdagangan di sekitar Sepang,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Norhizam berkata tangkapan itu antara kejayaan pihak polis melibatkan kekuatan 68 anggota pelbagai pangkat dalam lapan sekatan jalan raya (SJR) yang menumpukan kepada kenderaan perdagangan.

Beliau berkata setakat ini pihaknya telah mengeluarkan 162 saman atas pelbagai kesalahan trafik hasil pemeriksaan ke atas 1,103 individu dan 896 kenderaan.

Selain itu, Norhizam berkata empat kenderaan berat disita atas pelbagai kesalahan seperti memandu tanpa lesen dan kenderaan tidak mempunyai cukai jalan.

Beliau menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk kesalahan dan tindakan akan diambil terhadap mereka yang didapati melanggar undang-undang.

Dalam kes berasingan, Norhizam berkata polis Sepang menerima tiga laporan bagi kes orang hilang setakat hari ini, melibatkan remaja perempuan berusia antara 15 hingga 17 tahun.

“Ketiga-tiga kes ini berjaya diselesaikan dan remaja terbabit telah pulang ke pangkuan keluarga masing-masing baru-baru ini,” katanya.

– BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved