
KUALA LUMPUR – Polis sedang menyiasat satu akaun TikTok @berjuanguntukzara yang disyaki memuat naik kandungan tidak tepat dah sahih berhubung kes kematian pelajar 13 tahun, Zara Qairina Mahathir sehingga menimbulkan kebimbangan masyarakat.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar, berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Ia membabitkan kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian dan perkhidmatan rangkaian serta kandungan mempunyai kecenderungan menghasut kebencian terhadap mana-mana pihak, selain boleh menyebabkan kegusaran dan kegentaran awam.
“Penyebaran maklumat tidak sahih juga boleh menjejaskan kelancaran serta keberkesanan proses siasatan polis,” katanya dalam kenyataan.
Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar itu dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama dan ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang pada jam 4 pagi 16 Julai lalu.
Allahyarham disahkan meninggal dunia keesokannya selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu.
Kumar turut menyeru orang ramai berhenti menyebar maklumat tidak sahih kerana boleh menimbulkan kekeliruan masyarakat. - 16 Ogos, 2025
The post Polis siasat akaun TikTok sebar berita tidak sahih mengenai Zara Qairina appeared first on Scoop.
