Polis Siasat Kes Pelajar Tingkatan Tiga Kritikal Jatuh Dari Tingkat Tiga

LocalPolitics
26 Aug 2025 • 3:29 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Polis mengesahkan sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian seorang pelajar Tingkatan Tiga terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di daerah ini, awal pagi tadi.

Dalam kenyataan yang dimuat naik, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, laporan berhubung insiden berkenaan telah diterima dan siasatan dibuka mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.

image is not available

“Buat masa ini, polis sedang mengumpul keterangan daripada saksi-saksi serta individu yang berkaitan. Siasatan dijalankan dari pelbagai sudut termasuk aspek keselamatan pelajar, pengurusan asrama, selain latar belakang sosial mangsa dan rakan-rakan sekitarnya,” katanya.

Difahamkan, pelajar berusia 15 tahun itu kini berada dalam keadaan kritikal selepas dipercayai menjadi mangsa buli di asrama.

Bapa saudaranya, Muhammad Aidil Mansor, 34, berkata keputusan imbasan CT scan mendapati anak saudaranya, Ahmad Irfan Ahmad Hanafi, mengalami pendarahan di bahagian kiri dan kanan otak, rahang patah serta kecederaan pada paru-paru.

Katanya, keluarga hanya dimaklumkan mengenai kejadian pada jam 4 pagi, sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Sabak Bernam sejam kemudian.

image is not available

“Ahmad Irfan kini ditidurkan di hospital dan masih dalam pemantauan rapi pihak perubatan,” ujarnya.

Polis dalam pada itu menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan serta mengganggu emosi keluarga mangsa.

Sumber: Facebook @Polis Selangor