
Polis Siasat Penemuan Rangka Manusia Di Kawasan Kebun Durian
Polis kini menyiasat penemuan rangka manusia di kawasan sebuah kebun durian di Jalan Pulau Betong, Balik Pulau, yang ditemukan pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam, mengesahkan bahawa rangka tersebut ditemui pada kira-kira jam 12.35 tengah hari.
Pihak polis menerima laporan telefon berhubung penemuan tersebut daripada seorang saksi yang menjumpai tulang manusia di kawasan berkenaan.
“Hasil siasatan awal di tempat kejadian berjaya mengesan beberapa tulang dan satu rangka manusia di bawah timbunan tanah di kawasan lereng bukit kebun durian tersebut.
“Selain rangka, kita turut menemui beberapa barang lain termasuk serpihan telefon, cawan, gulungan dawai, periuk besi dan serpihan kipas di lokasi sama.
“Rangka tersebut dibawa ke Hospital Pulau Pinang bagi proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya kini masih menunggu keputusan bedah siasat dan laporan forensik bagi siasatan lanjut.
Sumber: Malaysia Gazette
The post Polis Siasat Penemuan Rangka Manusia Di Kawasan Kebun Durian appeared first on Siakap Keli.


