Polis siasat video anjur perlumbaan basikal lajak

LocalPolitics
23 May 2025 • 8:41 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tangkap layar video memaparkan sekumpulan penunggang basikal lajak dengan mempromosikan perlumbaan di sekitar Petaling Jaya. Gambar kecil: Shahrulnizam

PETALING JAYA - Polis menyiasat video di aplikasi TikTok yang mengiklankan penganjuran perlumbaan basikal lajak.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'afar berkata, siasatan mendapati video terbabit memaparkan aksi sekumpulan remaja menunggang basikal lajak di jalan raya berserta maklumat berkaitan penganjuran perlumbaan tersebut di Damansara Damai, Petaling Jaya.

"Polis telah mengesan video berdurasi 29 saat ini pada Khamis, yang mempromosikan penganjuran perlumbaan basikal lajak.

"Satu laporan polis telah dibuat berhubung perkara ini dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 81 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu mengadakan pertandingan melibatkan kenderaan tanpa kebenaran," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-7966 2222.

Tegasnya, polis mengingatkan semua pihak agar sentiasa mematuhi undang-undang bagi mengelakkan sebarang kejadian kemalangan.

"Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang yang berkuat kuasa," ujarnya.