Polis Singapura tahan lelaki dakwa ambil dadah bersama bekas peguam M. Ravi

LocalPolitics
25 Dec 2025 • 10:20 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang mendakwa dia mengambil dadah bersama bekas peguam, M. Ravi, beberapa jam sebelum peguam itu disahkan meninggal dunia, telah ditahan oleh Biro Narkotik Pusat (CNB) Singapura semalam.

Memetik laporan CNA, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menerima panggilan kecemasan di sebuah apartmen kira-kira jam 5.40 pagi.

Paramedik dikerahkan ke apartmen berkenaan dan mendapati individu yang memerlukan bantuan ialah seorang lelaki berusia 56 tahun, dikenali sebagai Ravi.

Polis memaklumkan bahawa bekas peguam itu dimasukkan ke Hospital Tan Tock Seng dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia.

Menurut polis, terdapat seorang lagi individu di apartmen berkenaan ketika SCDF tiba. Individu itu dikenali sebagai “A” dan merupakan lelaki yang menghubungi pasukan kecemasan.

“‘A’ berkata dia dan M. Ravi telah mengambil dadah beberapa jam sebelum itu, dan M. Ravi menunjukkan simptom yang membimbangkan selepas mengambil dadah tersebut.

“‘A’ turut memberikan bantuan CPR kepada M. Ravi dan memaklumkan bahawa dadah tersebut adalah miliknya,” kata polis.

Polis berkata, berdasarkan siasatan awal, pihak berkuasa tidak mengesyaki sebarang unsur khianat.

“Punca kematian hanya boleh disahkan selepas bedah siasat. Siasatan polis masih diteruskan.”

“‘A’ telah ditahan oleh CNB kerana disyaki melakukan kesalahan berkaitan dadah di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah,” tambah kenyataan itu.

Semalam, media melaporkan Ravi Madasamy, yang pernah berusaha menyelamatkan pengedar dadah dari Malaysia daripada hukuman gantung, ditemui meninggal dunia pada awal pagi, dengan polis menyiasat kes kematian tidak wajar.

Sepanjang hayatnya, mendiang M. Ravi dikenali kerana mengendalikan kes-kes hak asasi manusia serta aktif dalam kerja pro bono. — 25 Disember 2025

The post Polis Singapura tahan lelaki dakwa ambil dadah bersama bekas peguam M. Ravi appeared first on Scoop.