Polis sita 23 motosikal remaja selepas terima aduan penduduk

24 May 2026 • 2:51 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Polis sita 23 motosikal remaja selepas terima aduan penduduk
Polis menjalankan operasi selepas menerima aduan berhubung samseng jalanan yang dipercayai sering berkumpul di lokasi berkenaan sehingga mengganggu ketenteraman penduduk. Foto IPD SPT
Image from: Polis sita 23 motosikal remaja selepas terima aduan penduduk
Sebanyak 60 motosikal diperiksa dan 23 daripadanya disita kerana pelbagai kesalahan. Foto IPD SPT

BUKIT MERTAJAM - Kegiatan sekumpulan remaja melakukan aksi berbahaya termasuk ‘wheelie’ serta lumba haram di Jalan Guar Jering, Kampung Terus di sini membawa padah apabila 23 motosikal disita dalam operasi khas polis pada petang Jumaat.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi Op Motosikal–Samseng Jalanan itu dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD SPT dengan kerjasama anggota Balai Polis Kubang Semang.

Menurut kenyataan itu, operasi berkenaan dilaksanakan susulan aduan penduduk mengenai kegiatan sekumpulan remaja yang dipercayai sering berkumpul di lokasi terbabit sehingga mengganggu ketenteraman awam.

"Operasi memberi tumpuan kepada kumpulan remaja yang terlibat dalam aktiviti lumba haram, aksi berbahaya seperti ‘wheelie’ selain penggunaan ekzos motosikal yang diubah suai.

"Hasil pemeriksaan ke atas 60 motosikal, sebanyak 110 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik," menurut kenyataan itu.

**media[3531227]**

Polis turut memaklumkan, 23 motosikal disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tambah kenyataan tersebut, pihak polis memandang serius kegiatan samseng jalanan kerana bukan sahaja membahayakan keselamatan penunggang malah turut mengancam pengguna jalan raya lain.

Katanya, operasi dan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

"Dalam pada itu, ibu bapa dan penjaga disaran memainkan peranan penting dalam memantau pergerakan anak-anak supaya tidak terlibat dalam aktiviti tidak sihat yang boleh mengundang bahaya serta tindakan undang-undang," katanya.