Polis tahan 22 individu, rampas dadah bernilai RM1.66 juta

4 Nov 2022 • 4:39 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

JOHOR BAHRU: Polis menahan 22 individu dan merampas pelbagai dadah bernilai RM1.66 juta dalam operasi khas di empat daerah di negeri ini bermula 28 Okt hingga semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat (gambar) berkata kesemua 19 lelaki tempatan, dua wanita warga asing dan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 19 hingga 39 tahun itu disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah.

Beliau berkata operasi di kawasan Johor Bahru, Iskandar Puteri, Seri Alam dan Kota Tinggi berkenaan melibatkan 25 pegawai dan anggota polis.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan menjadikan rumah berpagar dan berpengawal sebagai tempat penyimpanan dadah dan pembungkusan semula.

“Kaedah pengedaran pula dengan menggunakan ‘runner’ (penghantar) yang menggunakan motosikal dan disyaki mula aktif pertengahan tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamarul Zaman berkata antara dadah dirampas ialah syabu seberat 7.02 kilogram, heroin (5.8 kilogram), ketamin (489.3 gram) serbuk ekstasi (305.8 gram), 340 biji pil erimin (114.13 gram), 32 biji pil ekstasi (13.2 gram) dan 0.65 gram ganja.

Beliau berkata dadah tersebut boleh dibekalkan kepada 68,048 penagih jika berjaya dipasarkan.

“Dalam serbuan berkenaan, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor turut menyita wang tunai RM145,458, dolar Singapura SGD$4,684, dolar Amerika Syarikat US$30, lapan kereta, dua jam Rolex, 14 jenis barangan kemas dan 23 telefon bimbit.

“Jumlah keseluruhan dadah dan sitaan adalah RM2,759,073.78,” katanya.

Menurut Kamarul Zaman, sejak 1 Jan 2022 hingga semalam, JSJN Johor telah menahan 12,327 individu atas pelbagai kesalahan dadah dan merampas 2.97 tan dadah bernilai RM13.17 juta serta pelbagai sitaan bernilai RM9.5 juta.-Bernama