Polis tahan 9 lelaki disyaki merompak dengan menyamar anggota penguat kuasa

LocalPolitics
14 Jan 2025 • 11:40 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

SEREMBAN: Polis menahan sembilan lelaki warga tempatan kerana disyaki merompak sekumpulan pekerja kebun sayur dengan menyamar sebagai anggota penguat kuasa dan bersenjatakan parang, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Abdul Malik Hasim berkata kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 20-an ditahan pada 5.30 pagi hari ini, di lokasi kejadian di Mantin, Nilai, selepas polis menerima maklumat daripada pemilik kebun pada 12.10 tengah malam.

“Suspek didakwa menceroboh kawasan kebun itu dan merompak enam pekerja sehingga berlaku kecederaan terhadap mangsa. Polis merampas dua parang dan sebilah rotan daripada suspek,“ katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Abdul Malik berkata pihaknya turut merampas lima motosikal dan tujuh telefon bimbit.

Kesemua suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan serta Seksyen 170, Seksyen 427 dan Seksyen 447 kanun sama.