Polis tahan buruh edar heroin hampir RM80,000

14 Oct 2022 • 11:18 AM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

TAIPING: Polis menahan seorang lelaki dipercayai pengedar dadah dan merampas dadah bernilai RM76,000 dalam serbuan sebuah rumah dekat Matang semalam.

Ketua Polis Daerah Taiping ACP Razlam Ab Hamid berkata lelaki berumur 51 tahun itu ditahan bersama dadah jenis heroin seberat 2.549 kilogram (kg) dalam serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping.

Beliau berkata tiga beg plastik memuatkan 59 paket lutsinar mengandungi serbuk keputihan disyaki dadah jenis heroin ditemukan dalam serbuan itu.

“Aktiviti pengedaran dadah ini dipercayai telah bergiat aktif sejak Februari lalu untuk pasaran tempatan dan pihak polis melakukan intipan selama dua minggu,” katanya dalam sidang media di pejabatnya hari ini.

Beliau berkata jumlah dadah berkenaan boleh digunakan untuk kira-kira 2, 000 orang penagih dan siasatan mendapati suspek mendapatkan bekalan dari luar Perak dan pasaran dadah ini tertumpu di Kuala Sepetang dan Batu Kurau.

Razlam berkata suspek yang mempunai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah itu direman sehingga 17 Okt untuk disiasat Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, dan polis turut menyita sebuah kereta dan wang tunai bernilai RM2,709. - Bernama