
JELI: Polis menahan dua lelaki tempatan dan merampas 1,382 sosej sejuk beku bernilai RM188,200 yang disyaki diseludup masuk dari negara jiran, di Batu 6, Jalan Raya Timur Barat, dekat Batu Melintang, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Jeli Supt Saari Yaacob berkata rampasan dilakukan ketika lori dinaiki mereka dalam perjalanan ke utara tanah air.
Beliau berkata bertindak hasil maklumat awam, polis telah menahan sebuah lori Hicom yang dinaiki kedua-dua suspek berusia 37 dan 38 tahun pada 11 malam.
“Pemeriksaan lanjut di dalam lori berkenaan telah ditemukan 333 guni mengandungi 1,382 bungkus sosej tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Kedua-dua lelaki itu juga gagal mengemukakan sebarang dokumen perakuan daripada KKM ke atas bekalan sosej sejuk beku tersebut,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Saari berkata kesemua barangan rampasan serta suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli untuk tindakan lanjut.
“Hasil siasatan awal mendapati bekalan sosej sejuk beku tersebut telah diseludup dari Thailand untuk kegunaan pasaran tempatan di utara tanah air.
“Kesemua tangkapan dan rampasan akan diserahkan kepada pihak KKM dan siasatan lanjut telah dijalankan di bawah Seksyen 4(1)(f) Akta Makanan 1983,” katanya. -Bernama
