Polis tahan empat lelaki warga asing disyaki terlibat kes bunuh

2 Aug 2022 • 9:04 AM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

IPOH: Polis menahan empat lelaki warga asing hari ini kerana disyaki terlibat dengan kes bunuh seorang lelaki, juga warga asing di sebuah rumah di Buntong di sini, semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata kesemua suspek berusia dalam lingkungan 33 hingga 46 tahun yang merupakan adik beradik, bapa saudara dan rakan kepada mangsa ditahan pada 1.15 tengah hari tadi.

Beliau berkata polis menerima laporan daripada lelaki berusia 40 tahun bahawa adik lelakinya berusia 37 tahun didapati tidak sedarkan diri di dalam sebuah rumah pada 9.20 pagi semalam.

“Hasil siasatan awal polis di tempat kejadian mendapati mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri terbaring di atas lantai, berbantal dan berselimut dan telah disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,“ katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Mior Faridalathrash berkata bagaimanapun hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan pada bahagian perut oleh pukulan objek tumpul.

“Justeru, kes diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,“ katanya.

Menurutnya polis turut menemukan sebuah tukul besi disyaki digunakan sebagai senjata yang mendatangkan kematian terhadap mangsa.

Beliau berkata kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh esok untuk permohonan reman mengikut Seksyen 117, Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan. — Bernama