Polis tahan enam individu, rampas dadah bernilai RM102,293

13 Sep 2023 • 3:53 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

GEORGE TOWN: Polis menahan dua pasang kekasih serta dua lelaki, dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM102,293 dalam beberapa serbuan di sekitar daerah Timur Laut, di sini bermula Khamis lepas hingga semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt V.Saravanan (gambar) berkata dalam kes pertama polis seorang lelaki berumur 30 tahun dan teman wanitanya warga asing berumur 20 tahun dalam serbuan di kawasan Persiaran Karpal Singh, di sini pada pukul 7 malam.

Beliau berkata susulan penahanan itu, kira-kira 45 minit kemudian polis menyerbu sebuah rumah di Sungai Pinang dan merampas 183 paket bungkusan minuman segera yang telah dicampur dadah jenis serbuk methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) seberat 4,219 gram (g) yang kesemuanya bernilai RM64,050.

“Siasatan kami mendapati pasangan kekasih itu menjadikan rumah berkenaan sebagai tempat memproses dadah MDMA sebelum mencampurkannya dalam serbuk minuman segera dan membungkusnya semula, kemudian mereka mengedarkannya di pusat hiburan atau pusat karaoke di sekitar negeri ini,“ katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya polis kemudiannya menahan seorang lagi seorang lelaki berusia 31 tahun yang merupakan anggota sindiket itu di hadapan sebuah premis perniagaan di Pulau Tikus pada 11.30 malam hari yang sama dan merampas pelbagai jenis dadah, antaranya 16 paket MDMA, ketamin, 30 biji pil eramin 5 yang kesemuanya bernilai RM6,390.

Saravanan berkata siasatan mendapati ketiga-tiga mereka terlibat dalam kegiatan itu sejak awal tahun ini dan mereka menjual setiap pek minuman segera pelbagai perisa itu dengan harga RM350 setiap paket, dan ia dipercayai boleh digunakan tiga hingga empat orang bagi setiap paket.

Katanya polis turut menyita sebuah kereta, wang tunai dan barangan kemas yang kesemuanya bernilai RM32,350 serta ujian air kencing mendapati semua mereka positif dadah.

Dalam kes kedua, Saravanan berkata polis menahan sepasang kekasih warga tempatan yang terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah dan merampas ganja serta syabu bernilai RM25,950 dalam serbuan pukul 5.30 petang semalam di sebuah rumah di sini.

“Lelaki berusia 40 tahun dan teman wanitanya berumur 26 tahun itu ditahan bersama 526 g ganja serta 122 g syabu. Mereka terlibat dalam kegiatan itu sejak awal tahun ini dengan pasaran di sekitar daerah Timur Laut,“ katanya.

Dalam kes ketiga, beliau berkata polis menahan seorang lelaki berumur 33 tahun di tepi jalan di Jalan Sultan Azlan Shah, Gelugor di sini pada 2.25 pagi semalam dan merampas 1,080 biji pil wy atau pil kuda yang kesemuanya bernilai RM5,903.

Menurutnya kesemua yang ditahan kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. -Bernama