Polis Tahan Lelaki Baling Batu Dan Tendang Kucing

21 Jun 2022 • 10:27 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available
Lelaki baling batu dan tendang kucing ditahan pihak polis

Seorang lelaki yang telah bertindak menyeksa serta menendang kucing dalam satu insiden di sebuah kedai di Semeling, Sungai Petani, Kedah, telah ditahan oleh pihak polis di kediamannya, semalam (20 Jun).

Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan memaklumkan, suspek yang berusia dalam lingkungan 20-an tersebut akan direman di mahkamah pada hari ini.

Jumpa bangkai kucing di rumah suspek

Jelasnya, pemeriksaan di kediaman suspek turut menjumpai bangkai kucing, tetapi ia bukanlah haiwan yang diseksa oleh suspek seperti yang tular di media sosial.

“Siasatan mendapati kucing yang diseksa suspek dalam video yang tular sebelum ini sudah diambil Jabatan Veterinar,” jelasnya sewaktu dihubungi media.

Menerusi rakaman video yang tular itu, kelihatan seorang lelaki yang memandu kenderaan Perodua Bezza putih telah melakukan kekejaman kepada dua ekor kucing dihadapan sebuah kedai.

Tindakan kejam dirakam CCTV

Tindakan kejam lelaki berkenaan yang menendang serta membaling batu kepada haiwan tersebut bagaimanapun telah dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV).

Rakaman CCTV berkenaan telah dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Facebook (FB) sehingga ia menarik perhatian netizen serta dikecam atas tindakan kejam yang telah dilakukan.

Umpan bagi makanan sebelum baling batu

Dalam rakaman yang berdurasi selama 3 minit tersebut turut memaparkan lelaki itu telah memberhentikan kenderaanya sebelum mengumpan seekor kucing dengan memberikan makanan.

Namun, suspek kemudian bertindak membaling batu sehingga haiwan tersebut kelihatan menggelupur menahan sakit.

Manakala, satu lagi rakaman video pula merakamkan lelaki yang berpakaian serba hitam terbabit mengumpan makanan kepada dua kucing sebelum dia menendang seekor haiwan berkenaan tanpa ada rasa belas kasihan.

image is not available
Foto: FB Hafiz Qayyum (Page Semeling, Merbok, Bedong, Sg Layar, Gurun, Sungai Petani)

Suspek merupakan seorang pencinta kucing sebelum ini

Menerusi laporan Kosmo pula, siasatan awal mendapati insiden yang terjadi kira-kira pukul 1.09 pagi, Sabtu lepas dimana suspek didakwa mengalami gangguan emosi kerana tidak bekerja.

“Temu bual dengan ahli keluarga suspek pula memberitahu lelaki tersebut sebelum ini merupakan seorang pencinta kucing dan banyak memelihara haiwan tersebut di rumahnya,” kata Zaidy Che Hassan.