
GEORGE TOWN: Polis menahan seorang lelaki yang mencampak anak saudaranya berumur tiga tahun dan menghempas bayi berusia 40 hari di sebuah flat di Jalan Maklom di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata lelaki berumur 29 itu ditahan di rumah keluarganya selepas menerima laporan kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira 3.40 petang.
“Kejadian itu berlaku apabila lelaki terbabit pulang ke rumah dalam keadaan berlumuran darah pada pergelangan tangan akibat dikelar oleh dirinya sendiri sebelum suspek tiba-tiba menyuruh kakaknya yang merupakan ibu kepada kanak-kanak dan bayi perempuan itu, membunuhnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata kakaknya yang terkejut dengan permintaan adiknya itu memintanya bersabar, namun suspek mengambil anak perempuan wanita itu lalu mencampaknya keluar dari tingkat satu rumah mereka sebelum melempar bayi itu ke lantai rumah.
Beliau berkata kejadian itu berlaku begitu pantas dan ibu, adik perempuan serta kakak lelaki itu tidak sempat berbuat apa-apa termasuk menghalang suspek daripada bertindak sedemikian.
Soffian berkata kakak kepada suspek kemudian menghubungi suaminya sebelum memaklumkan kejadian itu kepada polis.
Beliau berkata ekoran kejadian itu, kanak-kanak berusia tiga tahun berkenaan mengalami kecederaan pada mulut dan patah kaki kiri manakala adiknya mengalami pendarahan dalam otak dan kedua-dua mangsa dirawat di Hospital Pulau Pinang.
“Rumah itu didiami suspek bersama ibu dan adik perempuannya, manakala kakaknya berada di situ kerana berada dalam pantang selepas melahirkan bayi perempuan yang cedera itu,” katanya.
Beliau berkata lelaki terbabit yang merupakan penganggur kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
“Polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mendapatkan laporan perubatan suspek sama ada dia mengalami masalah mental atau kesihatan sehingga sanggup bertindak sedemikian,“ katanya.-Bernama
