
IPOH: Polis menahan seorang lelaki dan merampas 11,550 karton rokok tidak bercukai, dianggarkan bernilai RM184,800, dalam serbuan di sebuah rumah di Bandar Universiti, Seri Iskandar, semalam.
Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata serbuan itu dilakukan pada 7.10 petang menerusi Op Kontraban oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah hasil risikan dan maklumat awam.
Beliau berkata lelaki berusia 43 tahun itu ditahan di rumah berkenaan yang dipercayai dijadikan stor penyimpanan rokok yang diseludup, selepas suspek yang memandu kereta Proton Exora diekori pihak polis.
“Pasukan polis telah menyerbu serta membuat pemeriksaan dalam kenderaan dan rumah tersebut, seterusnya menemui sejumlah besar kotak-kotak yang mengandungi pelbagai jenis rokok dipercayai diseludup tanpa cukai kastam,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Yusri berkata jenis rokok yang dirampas ialah Canyon, Paradox, Zon King dan John berjumlah 231 kotak besar.
“Turut dirampas sebuah kereta dipandu suspek dan dua buah telefon bimbit serta barangan lain yang berkaitan.
“Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini dan disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967,” tambahnya. -Bernama
