Polis tahan lelaki warga asing disyaki bunuh teman wanita

8 Oct 2022 • 10:30 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga asing ditahan semalam kerana dipercayai membunuh kekasihnya di sebuah hotel di Bukit Bintang pada Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya (gambar) berkata lelaki berusia 27 tahun itu ditahan sekitar Sentul pada 7.25 petang.

Beliau berkata sebelum itu, pihaknya menerima maklumat seorang wanita berusia 36 tahun dijumpai terbaring di atas lantai dan telah meninggal dunia dalam sebuah bilik di hotel tersebut.

“Pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan lilitan di leher perempuan warga tempatan tersebut akibat dijerut menggunakan tali yang turut ditemukan di lokasi kejadian.

“Motif dan punca kejadian masih dalam siasatan polis,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Noor Dellhan berkata semakan awal mendapati suspek tidak memiliki rekod jenayah namun salinan pasport yang dikemukakan telah tamat tempoh.

Katanya lelaki itu ditahan reman selama seminggu bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. -Bernama