Polis tahan pasangan warga Indonesia terlibat kegiatan pecah kereta

17 Feb 2023 • 6:23 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

SEREMBAN: Polis menahan sepasang suami isteri warga Indonesia dipercayai aktif menjalankan kegiatan pecah cermin kereta dan curi di sekitar Seremban dan Kajang, Selangor semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Nanda Maarof berkata lelaki berusia 34 tahun dan wanita berusia 30 tahun itu ditahan pukul 1 pagi dalam Op Pecah Kereta di daerah ini.

“Hasil siasatan mendapati pasangan itu turut terlibat dalam tujuh kes pecah kereta. Kedua-dua mereka telah menunjukkan barang-barang yang dicuri di dalam kes yang terlibat, beberapa barang bernilai seperti jam tangan dan komputer riba turut dirampas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata suspek bertindak memecah cermin kereta yang diletakkan di kawasan sunyi dengan menggunakan alatan tajam.

Kedua-dua suspek ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah hingga 20 Februari ini dan disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan iaitu mencuri. -Bernama