Polis tahan tiga lelaki, rampas ganja bernilai lebih RM74,000

27 Jan 2023 • 12:53 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

ALOR SETAR: Polis menahan tiga lelaki dan merampas 29 ketulan mampat dadah jenis ganja bernilai lebih RM74,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Kilometer 3, Lebuhraya Sultan Abdul Halim, di sini Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata penahanan dilakukan kira-kira 11 malam selepas pemeriksaan menemukan kesemua dadah seberat 29.87 kilogram itu di kawasan semak berhampiran rumah.

“Seorang daripada mereka iaitu pemilik rumah yang berusia 48 tahun ditahan di hadapan premis itu manakala dua lelaki warga Thailand berusia 34 dan 45 tahun ditahan di dalam rumah.

“Hasil soal siasat, polis menemukan dua guni berwarna kuning mengandungi 29 ketulan mampat ganja, yang disembunyikan di dalam semak, lima meter dari rumah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata dadah berkenaan disyaki diseludup dari negara jiran dan dua lelaki warga Thailand itu dipercayai bertindak sebagai ‘transporter’ atau ejen pengangkut untuk membawa masuk bahan terlarang itu ke negara ini.

Katanya polis sedang mengenal pasti sama ada terdapat individu lain turut terlibat dan kesemua lelaki itu yang didapati positif methamphetamine dan Tetra Hydrocannibol (THC) direman hingga esok untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama