Polis tahan tiga lelaki, rampas ganja bernilai RM52,500

3 Sep 2022 • 1:00 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Gambar hiasan.

SUNGAI PETANI - Polis menahan tiga lelaki tempatan termasuk dua beranak dan merampas 21 ketulan mampat ganja seberat 21.9 kilogram yang dianggar bernilai kira-kira RM52,500 dalam serbuan di sebuah rumah di Pinang Tunggal di sini, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 22 hingga 59 tahun itu ditahan pada 4.30 petang.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati seorang daripada suspek, berusia 33 tahun, yang bekerja sebagai pemandu van dipercayai dalang dalam aktiviti pengedaran dadah serta berperanan sebagai ‘penjaga stor'.

"Penglibatan dua lagi suspek iaitu bapanya yang berusia 59 tahun dan sepupunya berusia 22 tahun, kedua-duanya merupakan pekerja kilang, masih dalam siasatan," katanya pada sidang media di sini pada Sabtu.

Menurutnya, suspek dipercayai aktif melakukan kegiatan pengedaran dadah di kawasan sekitar Sungai Petani dan Pulau Pinang sejak dua bulan lepas.

"Semakan rekod lampau mendapati suspek berusia 33 tahun itu mempunyai empat kesalahan berkaitan dadah dan enam kesalahan jenayah termasuk dikehendaki atas kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Suspek berusia 22 tahun mempunyai empat rekod jenayah termasuk dikehendaki atas kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, manakala suspek berusia 59 tahun pula tiada sebarang rekod kesalahan lampau," katanya.

Zaidy berkata, ujian saringan air kencing terhadap ketiga-tiga suspek mendapati, suspek pertama dan sepupunya masing-masing positif dadah jenis tetra hydrocannibol (THC)/ganja dan methamphetamine, manakala bapa suspek pertama, didapati negatif.

Tambahnya semua suspek direman selama enam hari bermula semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

"Kesemua dadah yang dirampas boleh digunakan untuk 43,770 penagih," katanya. - Bernama