
PENAMPANG: Seorang warga tempatan berusia 22 tahun dipercayai “transporter” (penghantar) dadah ditahan kerana membawa syabu seberat lebih 1kg, dalam operasi di sebuah kawasan perumahan di Beverly Hills, Jalan Bundusan, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Penampang Supt Sammy Newton berkata, suspek ditahan sekitar jam 8 malam oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.
Beliau berkata suspek membawa beg plastik hitam di tangan kanannya yang mengandungi peket plastik lutsinar mengandungi peket hijau berlabel “Guanyinwang.”
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati satu lagi peket plastik berisi bahan kristal dipercayai methamphetamine atau syabu,” katanya kepada pemberita selepas Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-218 di Ibu Pejabat Polis Penampang, Selasa.
“Dadah seberat 1,014.99 gram itu mempunyai anggaran nilai pasaran RM30,000 dan dipercayai bertujuan untuk diedarkan di Papar, Penampang dan Kota Kinabalu.
“Siasatan awal menunjukkan suspek bertindak sebagai ‘transporter’, menghantar dadah di kawasan-kawasan ini, dan dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada 5,000 pengguna,” katanya.
Sammy berkata suspek itu, yang juga didapati positif syabu, kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebat, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Beliau berkata polis akan terus membanteras jenayah berkaitan dadah dan menggesa orang ramai untuk memberikan sebarang maklumat yang boleh membantu dalam memerangi perdagangan dadah.

