Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seorang individu dikenali Victor Yong bagi membantu siasatan berhubung kenyataan menggalakkan hubungan diplomatik Malaysia-Israel.
Memetik laporan Harian Metro, individu berusia 36 tahun itu didakwa membuat kenyataan tersebut dalam temubual bersama pempengaruh media sosial Israel, Hananya Naftali.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, Victor Yong ditahan reman selama tiga hari sehingga 8 Disember ini.
“Permohonan reman selama tiga hari sehingga 8 Disember ini dibenarkan Mahkamah Majister Johor Bahru.
“Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Undang-Undang dan Pendakwaan (D5) Bukit Aman,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Dalam pada itu,beliau juga menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang ulasan atau spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
Terdahulu, tular sebuah video dimuat naik Hananya Naftali tular di X yang memaparkan temubual dengan lelaki dikenali Victor Yong Jen Ong, mendakwa berasal dari Johor.

Dalam rakaman itu, Victor didakwa mengeluarkan pandangan yang menggalakkan Malaysia mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel selain menyentuh sensitiviti umat Islam dengan memetik ayat al-Quran secara salah bagi menjustifikasikan agenda terbabit.
Victor juga mendakwa masyarakat Arab selama ini telah merosakkan pemikiran rakyat Malaysia terhadap Israel.
“Anak Israel pun disebut dalam al-Quran kitab suci Islam menuntut agar dipanjangkan kasih sayang kepada Bani Israel tetapi keganasan Arab radikal berbeza daripada itu dan mereka sangat aktif di Malaysia selama 75 tahun yang lalu cuba merosakkan intelek rakyat Malaysia.
“Untuk menjadikan Melayu dan Cina menentang negara Yahudi. Ini adalah proses yang perlahan tetapi sangat mantap,” kata Viktor dalam video yang dikongsi di platform X.
https://twitter.com/HananyaNaftali/status/1731520199223058675
Beliau juga mencadangkan agar Malaysia mengikut langkah negara Arab seperti Bahrain dan Emeriah Arab Bersatu yang mewujudkan hubungan diplomatik dengan Israel.
Malah beliau turut mencadangkan agar Israel mewujudkan sebuah kedutaan di Malaysia.
“Bahawa kedutaan Israel akan membawa begitu banyak budaya ke Malaysia mengenai orang Yahudi. Menyedarkan kita semua tentang kebenaran yang sebenarnya, dan seperti kata pepatah ‘kebenaran akan membebaskan kita semua’,” kata Victor lagi.
Beliau berkata, hubungan Malaysia dan Israel akan berjalan dengan aman dan damai kerana tidak seperti pengganas Arab, orang Melayu memiliki hati yang baik dan menerima pelbagai etnik ke negaranya.
Turut kelihatan juga bendera Israel dikibarkan di sebelah Jalur Gemilang dalam biliknya.
Sumber: Harian Metro (Hafidzul Hilmi Mohd Noor)
The post Polis Tahan Victor Yong, Padah Galak Hubungan Diplomatik Malaysia-Israel appeared first on Borak Daily.

