Polis tangkap 11 individu, keluar 5,953 saman

18 Sep 2023 • 9:04 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya yang tidak mematuhi arahan lalu lintas semasa Operasi Hormat Undang-Undang Jalan Raya Polis Kuala Lumpur diadakan pada Ahad.

image is not available
Anggota polis trafik Kuala Lumpur ditempatkan di laluan-laluan utama bagi mengesan pesalah jalan raya.

KUALA LUMPUR - Sebanyak 11 tangkapan dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) semasa Operasi Hormat Undang-Undang Jalan Raya Polis Kuala Lumpur yang diadakan pada Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, menerusi operasi itu, sebanyak 5,953 saman telah dikeluarkan kepada pesalah jalan raya.

Beliau berkata, antara kesalahan yang dikenakan tindakan ialah meletakkan kenderaan di laluan pejalan kaki atau di garisan putih iaitu sebanyak 203 saman dan berhenti di petak kuning (5 saman).

Kata beliau, sebanyak 106 saman dikeluarkan kerana tiada lesen memandu, tidak mematuhi lampu isyarat merah (41 saman), tiada lesen memandu melibatkan warga asing (4 saman) serta nombor pendaftaran kabur atau fancy (20 saman).

"Melibatkan kesalahan halangan lalu lintas, sebanyak 4,647 saman telah dikeluarkan dan sejumlah 927 saman dikenakan atas kesalahan lain.

"Jumlah keseluruhan operasi yang digerakkan oleh PDRM pada Ahad adalah sebanyak 16 operasi dengan kekuatan 40 pegawai dan 664 anggota," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sarifudin berkata, Op Utama yang dijalankan melibatkan had laju kenderaan dan pematuhan lampu isyarat, seterusnya operasi lain seperti Op Motosikal, Op Samseng Jalanan, Op Parkir Haram, Op Mabuk, Op Khas, Op Pelbagai serta Op Halangan.

Namun begitu katanya, tiada sebarang tindakan sitaan kenderaan dilakukan dalam kesemua operasi tersebut dan hanya 11 tangkapan dibuat ke atas pesalah jalan raya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved