Polis Temui Mayat Ibu Sendiri Ketika Operasi Menyelamat 

4 Dec 2025 • 8:41 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Polis Temui Mayat Ibu Sendiri Ketika Operasi Menyelamat 

Suasana pilu menyelubungi operasi mencari dan menyelamat mangsa tanah runtuh di Sibolga, Sumatera Utara. Seorang anggota Brigade Bergerak (Brimob) Polis Daerah Sumatera Utara dipercayai menemui mayat ibunya sendiri ketika menjalankan tugas.

Difahamkan, kejadian itu dilaporkan berlaku pada 1 Disember lalu ketika pasukan penyelamat sedang menyusuri kawasan lereng bukit yang terjejas.

Keadaan tanah yang lembut dan tidak stabil menyukarkan penggunaan jentera berat, menyebabkan operasi terpaksa dilakukan sepenuhnya secara manual.

Beberapa jam selepas operasi bermula, pasukan penyelamat menemui mayat seorang wanita warga emas dalam keadaan telentang, tertimbus di bawah sisa runtuhan tanah dan batu. Jenazah itu pada awalnya ditemukan oleh pasukan Kompi 2 Siaga Batalyon A.

Namun, suasana bertukar hiba ketika proses pengecaman dilakukan. Anggota Brimob, Aipda Simson Pakpahan dari Kompi 1 Batalyon C, tiba-tiba kaku melihat kain batik dan selendang yang dipakai mangsa.

Tidak lama kemudian, identiti mangsa disahkan, dan beliau menerima hakikat pahit bahawa jenazah yang ditemui itu ialah ibu kandungnya sendiri.

Suasana menjadi hening ketika proses evakuasi dilakukan. Jenazah ditutup dengan kain sebelum diangkat perlahan-lahan ke ambulans. Pasukan turut memberikan ruang kepada anggota terbabit untuk menyampaikan penghormatan terakhir kepada ibunya.

Peristiwa menyayat hati ini menambah satu lagi kisah duka dalam siri bencana banjir dan tanah runtuh yang melanda beberapa kawasan di Sumatera Utara.

Meskipun berhadapan ujian berat, anggota Brimob tetap meneruskan operasi pencarian bagi memastikan semua mangsa yang masih hilang dapat ditemui.

BACA: Dua Kanak-kanak Menangis Lihat Rumah Hancur ‘Disapu’ Banjir

BACA: Ayah Melutut, Meraung Cari Anak Hilang Dalam Tanah Runtuh

Sumber: Tribun News, Liputan6

The post Polis Temui Mayat Ibu Sendiri Ketika Operasi Menyelamat  appeared first on Siakap Keli.