SUBANG JAYA, 4 APRIL: Polis Diraja Malaysia mengesahkan tiada penemuan mayat di lokasi kebakaran di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, setakat ini.
Ketua Polis Selangor berkata pihaknya menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) dan pasukan forensik, namun masih tiada sebarang penemuan sehingga hari ini.

“Ia termasuk menggali kawasan lubang letupan untuk mengesan sama ada terdapat mangsa tertimbus di lokasi kebakaran. Kita juga berusaha menstabilkan keadaan tanah untuk menjalankan siasatan lanjut
“Selepas air dikeluarkan dan tanah distabilkan, barulah pasukan teknikal dibenarkan masuk untuk pemeriksaan dan penggalian,” kata Datuk Hussein Omar Khan yang turut memberitahu pihaknya menggunakan bot marin di Sungai Klang.
Bercakap pada sidang media di lokasi kejadian petang tadi, Hussein berkata siasatan pada masa kini tertumpu kepada aspek teknikal dan jenayah.
“Siasatan teknikal diketuai Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dengan sokongan agensi lain seperti Jabatan Kerja Raya, Petronas, Jabatan Mineral dan Geosains, Tenaga Nasional Berhad dan Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia
“Polis pula menjalankan siasatan dari aspek jenayah bagi mengenal pasti sebarang unsur khianat atau kecuaian,” jelasnya.

Kebakaran melibatkan saluran gas Petronas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights pada 8.10 pagi Selasa lepas, secara keseluruhannya melibatkan 1,254 orang daripada 308 keluarga.
Sebanyak 87 rumah mengalami kerosakan keseluruhan dan tidak boleh didiami, manakala 148 rumah terjejas dan mengalami kerosakan tetapi boleh didiami setelah melalui proses pembaikan.

The post Polis: Tiada penemuan mayat di lokasi kebakaran paip gas Putra Heights appeared first on Selangorkini.




